Saturday, November 24, 2018

KAJIAN PENGURUSAN MURID


Kajian Pengurusan Murid Dalam Negara dan Luar Negara.

(sila klik di topik atas untuk paparan slaid)
1.0       Pengenalan
Pengurusan Hal-Ehwal Murid (HEM) merupakan satu bidang yang penting di sekolah. Sekiranya tidak dikendalikan dengan baik ia akan mencacatkan dan menjejaskan perjalanan dan prestasi sekolah itu sendiri. Dengan adanya permintaan dan harapan yang tinggi di kalangan murid dan masyarakat seluruhnya terhadap kemampuan sekolah, pengurus atau pemimpin sekolah seharusnya memainkan peranan yang lebih daripada hanya menjalankan fungsi pentadbiran dan penyelenggaraan. Pengurus sekolah mesti berupaya menjadi penggerak dan penggalak perubahan untuk mempengaruhi ahli-ahli dalam sekolah menuju ke arah kecemerlangan. Hal ini kerana pelajar-pelajar merupakan aset negara masa depan.
Jatuh bangunnya negara bergantung kepada kualiti tenaga manusia yang dihasilkan oleh pendidikan. Untuk membantu individu supaya seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek (J.E.R.I) sebagaimana yang tercerna dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPN) bukanlah satu perkara yang mudah. Di peringkat sekolah ia berkehendakkan satu perancangan yang lebih berstruktur dan strategik untuk memastikan sesebuah sekolah itu memenuhi ciri-ciri institusi yang berjaya dalam bidang akademik dan bukan akademik. Oleh itu untuk mencapai hasrat ini, jawatan khas Guru Penolong Kanan (HEM) telah diwujudkan di sekolah bagi membantu pihak pentadbir (guru besar/pengetua) dalam memainkan peranan sebagai pemaju, pembina, pembantu, perancang, pemudahcara, penyelaras, pengawal, penawar, dan kaunselor kepada ahli-ahli di bawah pengawasannya khususnya pelajar-pelajar.

2.0       Objektif
1. Untuk menerangkan sistem pengurusan murid di luar negara.
2. Memahami konsep dan peranan serta bidang tugas pengurusan Hal Ehwal Murid.
3. Menghasilkan satu program Hal Ehwal Murid yang dapat membantu kecemerlangan   di peringkat sekolah.
4. Menyediakan dan memupuk murid yang bersahsiah dan berketerampilan.

3.0       Teori
1.      Keberkesanan sesebuah proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) bergantung kepada kesejahteraan murid.
2.      Pengurusan murid merangkumi kaedah-kaedah untuk mengurus rekod murid, kesediaan murid belajar dan memotivasikan murid.
3.      Pengurusan murid membantu untuk menyatukan kepelbagaian atau perbezaan yang wujud dalam diri setiap pelajar sebagai satu induk yang tiada beza.
4.      Mengaplikasikan teori sosiologi sebagai wadah untuk menguruskan murid; teori fungsionalisme, teori konflik dan teori interiaksionisme simbolik.

4.0       Soalan Kajian
                              1.            Bagaimanakah kaedah sistem pengurusan murid di luar negara serta apa yang direkodkan di dalam sistem tersebut?
                              2.            Apakah faktor yang mempengaruhi kesediaan belajar di luar negara dan cara memotivasikan pelajar mereka?

5.0       Kaedah Kajian
Kajian yang dibuat berhasil daripada sumber artikel, jurnal, sumber rujukan artikel dan jurnal atas talian, laman web rasmi pendidikan dalam negara dan luar negara atas talian dan tontonan video di “youtube”.
6.0       Dapatan Kajian
Di Malaysia, perkhidmatan hal ehwal pelajar secara rasmi juga dimulakan di peringkat universiti iaitu pada penghujung tahun 1960-an dan awal 70-an ekoran gerakan agresif para mahasiswa universiti dan kemudiannya kerajaan mewujudkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang mewujudkan jawatan Timbalan Naib Canselor Disiplin buat pertama kalinya yang kemudiannya diubah kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar).
Di peringkat sekolah, perkhidmatan yang secara konsepnya termasuk di bawah ruang lingkup personaliti murid telah lama wujud. Tugas menjaga disiplin pelajar sebenarnya telah wujud menyamai sejarah pendidikan formal pendidikan di Malaysia itu sendiri. Perkhidmatan bimbingan dan kaunseling pula wujud pada awal tahun 1960-an. Bagaimanapun perkhidmatan `hal ehwal murid’ secara formal adalah fenomena awal tahun 1980-an. Jawatan Penolong Kanan (Hal Ehwal Murid) hanya diisi dan diwujudkan oleh Kementerian Pelajaran pada awal tahun tersebut. Ini meliputi semua sekolah menengah hingga ke sekolah rendah.
Pengurusan Hal Ehwal Murid atau personalia pelajar dalam konteks negara Malaysia pula pada asasnya mestilah bertunjangkan kepada Falsafah Pendidikan Negara (FPN) dan Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK). Dengan kata-kata lain, pengurusan HEM yang dikendalikan dalam semua instituti pendidikan termasuklah di sekolah hendaklah dilaksanakan berpandukan falsafah, dasar, aspirasi dan sistem pendidikan di negara ini. Berdasarkan pegangan falsafah ini, maka segala urusan berkaitan perkhidmatan dan pengurusan Hal Ehwal Murid bukan sahaja bertepatan dengan matlamat sekolah, tetapi juga matlamat negara.
6.1       DALAM NEGARA
Kaedah sistem pengurusan murid dalam negara.
i. Perancangan kerja atau program bagi murid/pelajar
ii. Pengelolaan murid/pelajar dan program secara berkesan
iii. Pemilihan cara atau kaedah yang berkesan dalam pengurusan organisasi
iv. Penyeliaan dan penyelarasan aktiviti-aktiviti
v. Pengawalan, penilaian prestasi murid/pelajar dan penilaian program
Proses pengurusan HEM tersebut dari aspek:
i. Perancangan (planning)
Proses menentukan objektif dan cara operasi untuk aktiviti-aktiviti HEM yang dijalankan bertujuan untuk mencapai matlamat dengan cara yang paling berkesan.
ii. Pengelolaan (Organising)
Pengumpulan resos-resos sama ada manusia atau bukan manusia dan pembentukan prosedur dalam menguruskan program HEM.
iii. Pentadbiran/Memimoin (Leading)
Merangkumi kepemimpinan, motivasi, penyeliaan, dan penyelarasan terhadap program/rancangan HEM berkenaan.
iv. Pengawalan/Pemulihan (Controlling)
Ini berkait dengan laporan, maklumbalas, tindak ikut untuk memperbaiki rancangan HEM yang dilaksanakan.
Strategi perlaksanaan bagi mencapai matlamat pengurusan Hal Ehwal Murid.
1. Sistem Pendaftaran Pelajar.
1.1. Aktiviti - aktiviti yang dijalankan pada hari pendaftaran adalah seperti berikut:
            1.1.1. Pendaftaran di kelas dengan menyerahkan borang maklumat murid.
            1.1.2. Taklimat sistem pentadbiran sekolah kepada ibubapa atau penjaga.
1.1.3. Memasukkan data murid ke dalam buku rekod pendaftaran sekolah dan maklumat murid sebelum akhir bulan Februari.
2. Penguatkuasaan Peraturan Sekolah.
                    2.1. Semua murid perlu memiliki Buku Panduan Tatacara Disiplin Sekolah.
                    2.2. Semua murid dikehendaki memakai lencana sekolah dan tanda nama.
2.3. Membuat pelantikan pengawas sekolah yang terdiri daripada murid tahun tiga hingga tahun enam.
                    2.4. Semua pengawas yang dilantik perlu melalui proses berikut :
                            2.4.1. Pencalonan oleh guru kelas.
                            2.4.2. Kursus perlaksanaan tugas dan tanggungjawab.
                           2.4.3. Tempoh percubaan sepanjang bulan Januari.
                           2.4.4. Majlis watikah pelantikan.
2.5. Mengadakan sesi kaunseling khas kepada murid - murid yang sering melanggar peraturan.
3. Perlaksanaan Program-Program Kesihatan.
3.1. Memastikan perlaksanaan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) menepati  sasaran dan matlamat perlaksanaannya seperti berikut :
                                    3.1.1. Bilangan murid yang terlibat.
                                    3.1.2. Pemilihan murid yang tepat.
                                    3.1.3. Penyediaan menu yang berkhasiat.
3.2. Memastikan pelajar menggunakan sepenuhnya waktu tepat secara berfaedah seperti berikut :
                                    3.2.1. Cukup masa untuk membeli dan menjamu selera.
                                    3.2.2. Berinteraksi dengan kawan-kawan.
                                    3.2.3. Bersedia untuk sesi pembelajaran seterusnya.
                        3.3. Membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala seperti :
                                    3.3.1. Pemeriksaan mata.
                                    3.3.2. Pemeriksaan gigi.
                                    3.3.3. Pemeriksaan kuku dan rambut.
                                    3.3.4. Pemeriksaan kesihatan dan kebersihan diri.
                        3.4. Memastikan pengurusan kantin dan persekitaran sentiasa bersih.
                                    3.4.1. Pekerja kantin mendapat suntikan dari jabatan kesihatan.
                                    3.4.2. Jenis-jenis jualan di kantin adalah berkhasiat dan berkualiti.
                                    3.4.3. Penyediaan makanan adalah secara masak sendiri.
                                    3.4.4. Tong-tong sampah disediakan mencukupi keperluan.
                        3.5. Mewujudkan tabiat sukakan kebersihan melalui aktiviti berikut :
                                    3.5.1. Pertandingan kebersihan dan keceriaan kelas.
                                    3.5.2. Gotong-royong.
3.5.3. Mengutip sampah dan masukkan ke tong sampah secara spontan bila menjumpainya.
                                    3.5.4. Tidak membuang sampah merata-rata.
4. Mempertingkatkan Peranan Guru-Guru.
4.1. Guru perlu sentiasa memberi layanan yang adil kepada semua murid dalam sebarang tindakan yang diambil.
4.2.Tindakan-tindakan guru adalah dalam konsep “Mendidik bukan menghukum”.
                        4.3. Semua guru perlu memainkan peranan sebagai GURU DISIPLIN.
5. Melaksanakan Sesi Kaunseling & Motivasi.
5.1. Murid-murid yang menghadapi masalah disiplin dan rendah akhlak akan sentiasa diberikan kaunseling dan dibimbing melalui aktiviti berikut :
                                    5.1.1. Sesi kaunseling individu.
                                    5.1.2. Sesi kaunseling kelompok.
                                    5.1.3. Lawatan khas guru kaunseling ke rumah.
                                    5.1.4. Kem Jati diri.
6. Pelaksanaan Modul-Modul Dalam Program Sekolah Selamat.
6.1. Melatih murid-murid menyelamatkan diri dari keadaan kecemasan seperti kebakaran melalui LATIHAN KAWAD KECEMASAN.
6.2. Mengadakan sesi ceramah dari pihak-pihak tertentu berkaitan perkara:
                                    6.2.1. Keselamatan jalan raya.
                                    6.2.2. Jenayah juvana.
                                    6.2.3. Pertolongan cemas.
                                    6.2.4. Penyalahgunaan dadah.
7. Penggalakkan Penyertaan Aktiviti Luar.
7.1. Murid-murid digalakkan menyertai aktiviti luar bilik darjah, yang dianjurkan oleh pelbagai pihak seperti :
                                    7.1.1. Menyertai pertandingan melukis dan mewarna.
                                    7.1.2. Menyertai rombongan atau lawatan sambil belajar.
                                    7.1.3. Menyertai pertandingan kokurikulum akademik.
                                    7.1.4. Menyertai pertandingan sukan dan permainan.

Aktiviti-aktiviti Hal Ehwal Murid.
1.      Pendaftaran Pra Sekolah, Tahun 1, dan Tingkatan 1.
Pendaftaran ini dijalankan sepanjang tahun melalui “online” sebelum sesi persekolahan awal tahun bermula. Murid-murid Tahun 1 dan Tingkatan 1 diberikan pendedahan awal tentang kelas dan kawasan persekitaran sekolah bagi membiasakan mereka dengan suasana persekolahan yang baru.
2.      Kursus Kepimpinan Pengawas, Ketua Darjah dan Penolong Ketua Darjah.
Kursus ini diadakan bagi memberi pendedahan ciri-ciri kepimpinan dan motivasi kepada pengawas, ketua dan penolong ketua kelas. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menerapkan ciri-ciri dan nilai kepimpinan dalam kalangan mereka bagi memastikan mereka dapat menjalankan tugas dengan baik seperti yang diamanahkan.
3.      Watikah Pelantikan Pengawas, Ketua Darjah dan Penolong Ketua Darjah.
Sekolah juga menjalankan pelantikan pengawas, ketua darjah dan penolong ketua darjah pada awal tahun sesi persekolahan pada setiap tahun. Pelantikan ini bagi memberikan pelantikan secara rasmi murid-murid yang telah dipilih menjawat jawatan-jawatan tersebut.
4.      Sambutan Hari Guru.
Sambutan diadakan mengikut arahan JPN pada tarikh yang ditetapkan setiap tahun yang bertujuan memberi penghargaan kepada guru-guru selain memberi peluang kepada murid-murid mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang mengajar mereka.

5.      Latihan Kebakaran.
Latihan kebakaran diadakan sekurang-kurangnya dua kali sehari, iaitu sekali pada penggal pertama dan sekali pada penggal kedua. Pihak sekolah juga memanggil Jabatan Bomba berhampiran untuk memberikan ceramah keselamatan dan teknik-teknik memadam api dengan betul.
6.      Sambutan Bulan Kemerdekaan.
Pihak sekolah menjalankan aktiviti sambutan bulan kemerdekaan bermula pada 01 Ogos hingga 16 September setiap tahun. Selain itu, pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang sambutan dijalankan seperti perasmian pengibaran Jalur Gemilang, Sambutan 31 Ogos, Penutup Sambutan Bulan Kemerdekaan. Selain itu, acara-acara lain yang turut dijalankan adalah seperti nyanyian lagu patriotik, pertandingan hiasan kelas bertemakan kemerdekaan, pertandingan melukis poster dan pelbagai lagi.
7.      RMT (Rancangan Makanan Tambahan)
Beberapa orang murid daripada sekolah telah menerima bantuan makanan RMT. Murid-murid tersebut diberikan makanan pada pukul 7.10 pagi. Murid lain membawa bekalan dari rumah atau membeli makanan di kantin. Suatu taklimat telah diberikan kepada ibu bapa mengenai pentingnya bersarapan pagi.
8.      Program Imunisasi Murid Tahun 1 dan 6.
Proram Imunisasi Murid Tahun 1 diberi pada awal tahun dan untuk murid Tahun 6 pada pertengahan Tahun. Kedua-dua Imunisasi ini diberi oleh pihak kesihatan yang berhampiran. (Jadual akan diberi oleh klinik kesihatan pada awal tahun.)

9.      Rawatan Pergigian.
Rawatan pergigian diberikan juga oleh klinik kesihatan berhampiran dan pihak sekolah telah menyediakan satu bilik khas untuk doktor berkenaan memberikan rawatannya. Rawatan ini diberikan sepanjang tahun.
10.  Pendaftaran Murid Tahun 6 ke Tingkatan 1.
Pihak sekolah juga membuat persediaan dan pendaftaran untuk murid-murid Tahun 6 ke Tingkatan 1. Biasanya borang-borang yang berkenaan akan mula diisikan selepas peperiksaan UPSR. Selain itu, pihak sekolah juga membantu murid-murid yang layak dan ingin memohon ke sekolah berasrama penuh sekiranya ada yang meminati.
11.  Pertandingan Kebersihan Kelas.
Pertandingan kebersihan kelas dijalankan sepanjang tahun. Kebersihan dinilai oleh pihak pentadbir dan kelas yang terbaik diberikan satu piala pusingan.
12.  Gotong-royong Perdana Peringkat Sekolah.
Pihak sekolah sering menjalankan gotong-royong perdana peringkat sekolah dengan kerjasama PIBG, dan pelbagai pihak lagi bagi memastikan kawasan persekitaran sekolah sentiasa bersih.
13.  Bantuan Kebajikan Murid.
Pihak sekolah juga mendapat bantuan sumbangan daripada pihak luar seperti PIBG, ADUN dan pelbagai lagi dalam membantu murid-murid yang kurang berkemampuan. Bantuan-bantuan yang diberi seperti beg sekolah, pembelian alat tulis dan peralatan sekolah, kasut, baju dan pelbagai lagi.

14.  Sesi Kaunseling.
Sesetengah sekolah tidak mempunyai guru kaunseling sepenuh masa namun pengurusan sekolah telah melantik seorang guru kaunseling. Guru kaunseling tersebut banyak menjalankan program kaunseling bagi membantu murid-murid terutama murid-murid yang bermasalah. Selain secara berkelompok, sesi kaunseling individu juga dijalankan.
15.  Program Ceramah Keselamatan Bersama Polis.
Pihak sekolah sentiasa menjalinkan hubungan baik bersama pihak polis bagi menjamin keselamatan murid-murid terutama murid-murid yang bermasalah. Selain secara berkelompok, sesi kaunseling individu juga dijalankan.
16.  Program bersama Klinik Kesihatan Bergerak.
Program ini dijalankan pada setiap tahun. Pelbagai aktiviti dijalankan seperti ceramah kesihatan, bantuan kecemasan dan pelbagai lagi dijalankan bagi memastikan murid-murid tahu cara menjaga kesihatan agar sentiasa sihat.
Rajah 1: Contoh carta ganti program dan aktiviti.

6.2       LUAR NEGARA
Di bawah organisasi “United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization”, didapati bahawa mereka menggunakan sistem SRMS iaitu, “School Records Management System”. SRMS merupakan sistem yang menyimpan data keseluruhan dari pelajar, guru, bilik darjah, kemudahan yang disediakan untuk pelajar dan juga data kewangan sekolah. SRMS membantu meningkatkan dan memantapkan sekolah dari segi sistem pendidikan di sekolah masing-masing.
Kaedah sistem pengurusan murid di luar negara.
Terdapat lapan urutan yang harus dipatuhi oleh setiap sekolah yang mengamalkan “School Records Management System”, SRMS.
1.  Creation ( mencipta ) : memulakan rekod baru untuk setiap pelajar pada hari pertama persekolahan mereka.
2.  Storage ( menyimpan ) : menyimpan maklumat setiap murid dalam keadaan teratur supaya mudah dicapai apabila diperlukan.
3.  Update ( mengemaskini) : menambah maklumat murid yang mempunyai perubahan.
4.  Retrieval ( pencapaian semula ) : mencari semula maklumat yang disimpan daripada sistem untuk memastikan rekod pelajar sentiasa di dalam sistem dan tidak terpadam.
5.  Usage ( mengguna ) : mengaplikasikan maklumat dari sistem pangkalan data untuk kegunaan pengurusan pejabat mereka.
6.  Appraisal and retention ( penilaian dan pengekalan ) : memastikan tempoh sesuatu data pelajar boleh disimpan untuk penggunaan masa kelak.
7.  Archiving ( pengarsipan ) : memastikan dokumen-dokumen pelajar dapat diperolehi dengan mudah dan cepat walaupun selepas tempoh yang lama
8.  Disposal ( pelupusan ) : melupuskan data pelajar pada suatu tempoh yang dibenarkan.
               
Maklumat yang direkodkan dalam sistem pengurusan murid :
a.) “Student record card” ( kad informasi pelajar ) 
     
Kad informasi pelajar mengandungi maklumat tentang diri, keluarga dan akademik pelajar. Hal ini membolehkan para guru untuk memberi tumpuan kepada pelajar yang memerlukan lebih tumpuan daripada pelajar lain. Daripada kad pelajar ini, maklumat murid akan dimasukkan ke dalam sistem atas talian yang akan memudahkan pihak pengurusan memperoleh maklumat mereka pada bila-bila masa.
b.) “Class attendance sheet” ( lembaran kehadiran pelajar )
 
Lembaran kehadiran pelajar mengandungi nama pelajar dan kehadiran mereka dalam sebulan. Pihak pendidik boleh melihat trend kehadiran murid dan jika terdapat apa-apa yang diragui, mereka boleh bertanya kepada pelajar tersebut.
c.) “Textbook record sheet” ( lembaran buku teks )
Lembaran buku teks merupakan lembaran untuk memastikan semua murid memiliki buku teks yang merupakan sumber asas kepada seorang murid. Berdasarkan polisi SRMS, lembaran ini akan disimpan selama dua hingga tiga tahun untuk memastikan jika terdapat buku teks yang hilang dan seterusnya mengambil tindakan jika berlaku kehilangan buku tersebut.
   
d.) “Student performance summary” ( rekod prestasi pelajar)
Rekod prestasi pelajar merupakan ringkasan akademik dan sahsiah murid di dalam kelas. Rekod ini digunakan untuk melihat perbandingan gred dan sahsiah murid sepanjang mereka berada di sekolah. Jika terdapat penurunan prestasi dan tingkah laku pelajar, tindakan akan diambil terhadap mereka. Walaubagaimanapun, prestasi mereka hanya boleh disemak oleh guru yang mengajar mereka. Guru lain yang ingin melihat rekod pelajar tersebut, harus bertanya kepada guru kelas mereka yang sebelumnya.
           
Faktor yang mempengaruhi kesediaan belajar di luar negara :
a.) “Teacher performance evaluation report” ( laporan pengajaran guru )
     
Laporan ini dikeluarkan oleh setiap sekolah di setiap negara untuk mengenal pasti peratus pendidik (guru) yang mempunyai kurang kemahiran untuk mengajar. Melalui laporan ini, pihak atasan mereka dapat mengenal pasti guru yang memerlukan latihan untuk meningkatkan kualiti pengajaran mereka. Pendidik yang dikenalpasti juga akan dihantar untuk kursus dan prestasi mereka akan dilihat secara keseluruhan selepas menghadiri kursus yang dianjurkan. Rekod ini tidak akan dilupuskan sehingga guru tersebut bersara. Rekod mereka boleh diperolehi atas talian, jika mereka berpindah ke sekolah lain.
Tekanan yang tinggi diberikan kepada pendidik kerana mereka percaya bahawa guru yang berpengetahuan akan melahirkan murid yang secara “all-rounder”.
                     
(Dumjala district) Contoh laporan yang dikeluarkan oleh kementerian pendidikan Negara luar untuk mengenal pasti guru yang harus diberikan latihan pedagogi.
   
                        Contoh rekod prestasi guru yang dinilai di Negara India.
b.) “Teaching-learning processes” ( proses pembelajaran dan pengajaran )
Pihak atasan di setiap sekolah akan memastikan proses pembelajaran dan pengajaran berjalan lancar dengan memastikan beberapa aspek penting seperti :
        Bilangan kelas yang dilaksanakan oleh setiap guru pada setiap minggu,    bulan dan tahunan.
        Nisbah jam kelas diadakan selain daripada yang sepatutnya diadakan
        Kekerapan penggunaan alat bantu mengajar.
        Kekerapan menggunakan kaedah baru semasa pengajaran.
       Kekerapan latihan pemikiran aras tinggi yang diadakan di dalam kelas.

                   
                        ( contoh penilaian guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran )
Kekerapan yang ditunjukkan akan mengeratkan hubungan pelajar dan guru semasa proses pembelajaran lalu meningkatkan kefahaman pelajar itu sendiri.

Cara untuk memotivasikan pelajar di luar negara :
Penggunaan peralatan alat bantu mengajar yang mantap
Pendidik di luar negara memberi penekanan kepada peralatan yang digunakan semasa proses pembelajaran dilakukan di dalam kelas (“usage of teaching aids”). Mereka percaya bahawa penggunaan bahan bantu mengajar yang menarik akan memotivasikan pelajar untuk meningkatkan keinginan yang mendalam untuk belajar.
“Every school should keep an inventory of available teaching aids such as maps, wall charts, flip charts, flash cards, scientific models, kits and toys by quantity and good condition of use. The teaching track inventory should be able to track how frequently each resource is used on a weekly or monthly basis. This would help to increase the interest in each student to motivate them in studies.”
                 
( contoh statistik yang disediakan oleh pihak sekolah yang mengutamakan alat bantu mengajar )
           
( kemudahan lain yang diberikan kepada pelajar sewaktu pembelajaran mereka di kelas )

Negara luar percaya bahawa peralatan alat bantu mengajar yang bagus sewaktu proses pembelajaran akan memberi kefahaman yang bagus kepada pelajar untuk memahami konten yang diajar kepada mereka.
6.3       PENDIDIKAN KHAS DI MALAYSIA
Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia, “Pendidikan Khas” ertinya pendidikan bagi murid berkeperluan pendidikan khas di tiga opsyen (setting) persekolahan, iaitu sekolah pendidikan khas, atau di sekolah arus perdana yang melaksanakan Program Pendidikan Khas Integrasi atau Program Pendidikan Inklusif, pada peringkat pendidikan prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan menengah atau pendidikan lepas menengah.
“Murid Berkeperluan Khas”, ertinya murid yang diperakukan oleh pengamal perubatan, atau ahli optik, ahli audiologi atau ahli psikologi mengikut mana-mana yang berkenaan, sama ada dalam perkhidmatan kerajaan atau swasta sebagai murid yang mempunyai ketidakupayaan penglihatan, ketidakupayaan pendengaran, ketidakupayaan pertuturan, ketidakupayaan fizikal, masalah pembelajaran atau mana-mana kombinasi ketidakupayaan.
PERINGKAT AWAL
Pada peringkat permulaan, peranan utama dalam pendidikan khas dan pemulihan pelbagai kecacatan disumbangkan oleh institusi-institusi keluarga dan masyarakat yang terdiri daripada pertubuhan agama, etnik, ibu bapa, dan badan sukarela bersifat tempatan dan antarabangsa. Minat terhadap pendidikan khas di Malaysia bermula pada tahun 1920-an di kalangan sukarelawan yang terlibat dalam pembukaan sekolah-sekolah cacat penglihatan dan pendengaran. Laporan Jawatankuasa Kabinet yang mengkaji Perlaksanaan Dasar Pelajaran melalui Perakuan 169 merupakan satu titik tolak yang membawa kepada satu penekanan dan tumpuan yang lebih jelas kepada perkembangan pendidikan khas di Malaysia (Nurul Huda Abd Halim, 2009).
Pada peringkat awal penubuhan, ia hanya memberi khidmat kepada mereka yang bermasalah penglihatan di sekolah Rendah Pendidikan Khas St Nicholas di Pulau Pinang dan Sekolah Rendah Pendidikan Khas Princes Elizabeth di Johor Bharu (Mohd Sharani Ahmad,2006). Sekolah Rendah Pendidikan Khas Alma (St. Nicholas) di Pulau Pinang dan Sekolah Puteri Elizabeth di Johor Bahru merupakan dua buah sekolah rendah yang paling awal menyediakan kemudahan pendidikan bagi kanak-kanak bermasalah penglihatan, iaitu masing-masing dalam tahun 1926 dan 1949 (Wong Huey Siew dan Sandiyao Sebestian, 2002). Manakala Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan, Pulau Pinang pula dibina khusus untuk masalah pendengaran. Pada peringkat awal sekolah-sekolah ini adalah sekolah bukan kerajaan, dan kemudiannya sekolah ini ditukar kepada sekolah pendidikan khas Separuh Bantuan. Walaub bagaimanapun pada hari ini sekolah-sekolah ini telah ditukar statusnya menjadi Sekolah-sekolah Pendidikan Khas Bantuan Penuh Kerajaan.
Pada zaman penjajahan Inggeris, usaha untuk menyediakan kemudahan dan perkhidmatan pendidikan bagi komuniti khususnya bagi mereka yang bermasalah penglihatan di negara-negara Asia termasuk Tanah Melayu telah dipelopori oleh pergerakan sosial yangterdiri daripada institusi-institusi yang bercorak keagamaan. Seorang sarjana dari barat bernama Bourgeault (1970) turut menyuarakan pandangan ini. Seterusnya, seorang tokoh pendidikan khas tempatan yang bernama Chua Tee Tee dalam rencana beliau (Pendidikan Khas di Malaysia) yang diterbitkan di Jurnal Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun1970, antara lain menyebut bahawa pendidikan khas di negara ini boleh dikatakan telah bermula apabila Misi Anglican mendirikan rumah dan Sekolah St. Nicholas bagi OKUP diMelaka pada tahun 1926. Ia telah dipindahkan ke Pulau Pinang pada tahun 1931. Pada ketikaitu (1970), sekolah berkenaan menjaga seramai 80 orang kanak-kanak bermasalah penglihatan di peringkat sekolah rendah. Dengan kata lain, sekolah ini merupakan sekolah khas yang pertama di Malaysia bagi kanak-kanak yang memerlukan keperluan khas (Wong Huey Siewdan Sandiyao Sebestian, 2002).
PERANAN KERAJAAN MALAYSIA
Pihak kerajaan merupakan penggerak utama di mana perkhidmatan kemudahan fizikal, khidmat sokongan, peruntukan kewangan dan khidmat kepakaran disalurkan terus untuk pendidikan khas. Persidangan Bangsa-bangsa Bersatu pada Tahun Antarabangsa Orang-orang Cacat 1981 menegaskan full participation and justice, dan tidak lagi bergantung kepada campassion of charity sebagai temanya. Ini bagi menjamin semua kerajaan yang menjadi anggota pertubuhan mengamalkan dasar the disabled child, pupil or adult is entitled to benefit in the equalization of all spheres of activities, namely education,social, political and economic.
Kerajaan Malaysia melalui konsep kerjasama antara kementerian yang melibat Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat memainkan peranan utama dalam enam aspek iaitu:
I. Mengutamakan pelbagai strategi dan program yang bersifat intervensi awal (early intervesion ) dan pencegahan (potentially preventable) pelbagai kecacatan dari peringkat bayi dan penempatan kanak-kanak dalam program pemulihan dan pendidikan bersesuaian.
II. Mewujudkan pelbagai jawatankuasa antara kementerian bertujuan menyelaras dan memantau perkembangan pelaksanaan program (in- built evaluation and monitoring system for adjustment, correction and improvement ).
III. Mengutamakan golongan yang tinggal di luar bandar.
IV.Mengutamakan pendekatan bersifat local community-based daripada the specialized residential centre.
V. Menggalakkan decentralization bagi pusat, sekolah, kelas khas dan specialized
di peringkat daerah, negeri dan wilayah dan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar sahaja.
VI. Mewujudkan kerjasama serantau dan peringkat antarabangsa dengan agensi-agensi kerajaan.
PENDIDIKAN KHAS DI LUAR NEGARA
A.    Pendidikan Khas di Amerika syarikat
Seperti juga di Malaysia, pada peringkat permulaannya pelaksanaan pendidikan khas di barat, khususnya di Britain dan di Amerika tidak begitu mendapat perhatian. Namun,berbanding di Malaysia perkembangan dan pembangunan di negara barat lebih cepat dan maju. Perbincangan seterusnya difokuskan di Britain dan Amerika supaya anda dapat membandingkan perkembangan dan pembangunannya dengan apa yang berlaku di Malaysia. Di Malaysia, kepesatan pembangunan pendidikan khas bermula apabila Akta Pendidikan. 1996 diwartakan dan di Amerika apabila Public Law 1975 diperkenalkan manakala di Britain pengumuman Warnock Report merancakkan perkembangan pendidikan khas. Kedua-dua negara tersebut mendahului lebih kurang 20 tahun lebih awal daripada Malaysia yang kesannya amat besar dari aspek pertumbuhan dan perkembangan serta kemajuan dalam pendidikan khas. Dalam hal ini, selain daripada kesedaran masyarakat terhadap pendidikan khas, peranan undang-undang atau polisi pemerintah merupakan penggerak utama untuk membangunkan pendidikan khas. Sebagai perbandingan, kita akan teliti secara umum perkembangan dan pembangunan pendidikan khas di Amerika dan di Britain.
Pada tahun 1990, Public Law 94- 142 diberi nama baru dan diperluaskan sebagai Akta Pendidikan Individu Kurang Upaya (Individu Kurang Upaya Akta Pendidikan, Public Law 94-476), dikenali dengan sikatan IDEA. Guru Sekolah Dasar Negeri biasanya mengajar antara dua puluh dan tiga puluh mahasiswa keperluan belajar pelbagai. Sebuah kelas khas akan merangkumi anak-anak dengan pelbagai keperluan belajar atau kemampuan, dari mereka yang dikenalpasti sebagai mempunyai keperluan khas dari jenis yang dinyatakan di dalam Individu dengan Disabilities Act [Individu [Penyandang Cacat Undang-Undang Pendidikan | IDEA]] untuk mereka yang kognitif, atletis atau artistik berbakat. Undang-undang ini menunjukkan betapa penting hak orang kurang upaya dilindungi.
Antara yang ditekankan ialah:
1.      Penyediaan Pendidikan percuma dan pendidikan bercorak awam yang sesuai kepada kanak- kanak berkeperluan khas (Provide a free and appropriate public education).
2.      Pendidikan bagi kanak-kanak khas dilaksanakan dalam persekitaran yang tidak menghalang mereka untuk berkembang (Educate children in the least restrictive environment).
3.      Kanak- kanak khas dilindungi daripada sebarang elemen bercorak diskriminasi dalam penilaian pendidikan (Protection against discrimination in testing).
4.      Penglibatan ibu bapa dalam merancang dan menentukan perkembangan pendidikan setiap murid.
5.      Penyediaan rancangan pendidikan individu bagi setiap murid khas, iaitu guru pendidikan khas dikehendaki menyediakan rancangan pendidikan individu bagi setiap murid khas dengan mengikut prosedur yang ditetapkan.
B.     Pendidikan Khas di Britain
Pada tahun 1974, Jawatankuasa Inkuiri Pendidikan Kanak-kanak Cacat Warnock ditubuhkan dengan tujuan mengkaji semula pendidikan khas di Britain. Laporan Warnock yang diumumkan pada 1978 banyak mempengaruhi perkembangan dan pembangunan pendidikan khas di Britain. Walaupun cadangan-cadangan yang dikemukan dalam laporan itu tidak dilaksanakan serta merta tetapi laporan Warnock dijadikan asas dalam pelaksanaan pendidikan khas dan cadangan-cadangan yang dikemukan dimasukkan dalam akta pendidikan pada tahun-tahun berikutnya. umpamanya, sebelum laporan ini dikemukakan, konsep pendidikan untuk kanak-kanak berkeperluan khas adalah berasaskan kepada ‘pengasingan’ iaitu kanak-kanak berkeperluan khas belajar di sekolah khas yang menyekat dan menghalang mereka daripada bergaul dengan kanak-kanak biasa.
Laporan ini menekankan kepada konsep percampuran antara kanak-kanak berkeperluan khas dengan kanak-kanak biasa yang dikenali sebagai ‘integerasi’ atau ‘inklusif’ diperluaskan. Konsep integrasi atau inklusif menekankan bahawa kanak-kanak berkeperluan khas perlu belajar di sekolah harian biasa dan berpeluang bergaul dengan kanak-kanak biasa. Dasar ini dilaksanakan dan diamalkan sehingga kehari ini. Dasar ini juga dijadikan panduan kepada negara-negara lain dalam melaksanakan pendidikan khas. Akta Pendidikan 1981 pula meletakkan kepentingan peranan ibu bapa dalam pelaksanaan pendidikan khas.
Manakala Akta Kanak-kanak 1989 (Children’s Act, 1989) memperkukukan pelaksanaan pendidikan khas melalui dua perubahan yang ditekankan. Kedua-dua akta (Akta Pendidikan 1981 dan Akta Kanak-kanak 1989) tersebut telah mengambil kira cadangan-cadangan dalam Laporan Warnock. Hal ini selari dengan apa yang berlaku di Amerika. Perubahan yang berlaku berkait rapat dengan kesedaran masyarakat dan dasar semasa yang dilaksanakan oleh kerajaan terhadap pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas di Britain.
Antara perubahannya adalah:
1.      Amalan membuat diagnosis ke atas kanak-kanak berkeperluan khas yang sebelum ini dilakukan oleh hanya ahli perubatan dipinda kepada konsep ‘koloboratif’ iaitu, diagnosis dilakukan oleh pelbagai pihak yang terlibat dalam pendidikan khas mengikut kepakaran dan keperluan.
Umpamanya, ahli psikologi pendidikan membuat diagnosis ke atas keperluan mengikuti pendidikan dan ahli patologi bahasa membuat penilaian terhadap keupayaan berbahasa ke atas kanak kanak berkeperluan khas. Apa yang jelas, akta ini memberi ruang kepada pelbagai pihak dengan pelbagai kepakaran dalam menentukan pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas.
2.      Konsep ‘pengasingan’ tempat belajar kanak-kanak berkeperluan khas diganti dengan konsep integrasi atau inklusif
Contohnya, kanak-kanak berkeperluan khas belajar bersama dengan kanak-kanak biasa dalam sekolah dan kelas yang sama.
Dalam pelaksanaan pendidikan khas,tumpuan diberi kepada perkara-perkara berikut:
a.       Penyampaian
Contohnya ialah bahasa isyarat bagi kanak-kanak pekak dan huruf Braille bagi pelajar buta.
b.      Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran
Strategi pengajaran khusus yang sesuai dengan jenis kurang upaya.
c.       Peralatan
Alat yang membantu proses pendidikan seperti alat bantuan pendengaran bagi kanak-kanak pekak dan mesin Brailler bagi mereka yang buta.
d.      Bilangan Pelajar dalam Kelas
Bilangan pelajar dalam kelas pendidikan khas di Malaysia ialah 5-10 murid.
e.       Guru Pendidikan Khas Terlatih
Guru-guru dilatih khas untuk mengajar kanak-kanak bermasalah pembelajaran atau kanak-kanak bermasalah penglihatan.
f.       Pengubahsuaian Kurikulum
Kandungan kuríkulum diubah suai dengan mengambil kira jenis kurang upaya yang diajar.
g.      Aktiviti Kokurikulum
Disesuaikan dengan jenis murid khas.

Perlaksanaan Intervensi Awal
Sama ada memilih intervensi awal secara individu, secara kumpulan kecil atau seluruh kelas bergantung kepada tahap keterukan sesuatu ketidakupayaan. Seperti mana guru telah menentukan sama ada untuk melaksanakan strategi intervensi berpusatkan guru atau berpusatkan pelajar, guru juga harus menentukan kesesuaian strategi-strategi tersebut ke atas seluruh kelas, sekumpulan kecil atau orang perseorangan. Pemilihan ini bergantung kepada kebijaksanaan guru untuk menilai strategi intervensi yang terbaik mengikut jumlah pelajar dan jenis ketidakupayaan.
(a)   Intervensi Berpusatkan Guru
Intervensi berpusatkan guru adalah satu kaedah yang berkesan untuk mengajar dan mengawal pelajar bermasalah pembelajaran dan tingkah laku. Intervensi berpusatkan guru sepenuhnya memerlukan guru memainkan peranan utama dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Dalam intervensi ini, guru yang menentukan jenis strategi yang perlu digunakan, model dan demonstrasi, memberi arahan kepada kanak-kanak dan memantau kemajuan mereka. Intervensi berpusatkan guru sepenuhnya sesuai digunakan pada tahap pemerolehan pengetahuan dan kemahiran.
(b)   Intervensi Berpusatkan Pelajar
Intervensi berpusatkan pelajar lebih sesuai bagi pelajar yang berkemampuan mengawal tingkah laku sendiri. Istilah ‘berpusatkan pelajar’ membawa imej tentang pelajar yang berdikari, bergantung pada diri sendiri dan berjaya mengendalikan proses-proses pembelajaran dalam kelas biasa. Dalam intervensi berpusatkan pelajar, pelajar memainkan peranan utama tetapi masih mendapat bimbingan dalam beberapa perkara daripada guru kelas. Pelajar akan diajar prosedur-prosedur kawalan diri, menentukan matlamat yang realistik, menangani kekecewaan dan cara mengatasi masalah. Intervensi ini melatih pelajar untuk ‘berdiri di atas kaki sendiri’.
(c)   Intervensi Berpusatkan Keluarga
Dalam pendekatan intervensi berpusatkan keluarga, kanak-kanak dilihat sebagai sebahagian daripada sistem sesebuah keluarga. Apabila ibubapa dilibatkan dalam proses intervensi, keluarga itu akan menjadi elemen yang mustahak dalam proses pembelajaran kanak-kanak berkenaan. Ini turut memperbaiki interaksi di antara kanak-kanak dengan golongan dewasa. Secara tidak langsung, pendekatan ini juga mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan dan meningkatkan kefahaman tentang keperluan individu berkeperluan khas.


Strategi Mempertingkatkan Kompetensi Sosial
Pelbagai strategi telah digunakan bagi mempertingkatkan kompetensi sosial. Bagaimanapun strategi yang digunakan bergantung kepada umur kanak-kanak dan masalah yang dialami. Satu strategi yang kerap digunakan ialah latihan kemahiran sosial (social skills training). Kemahiran yang lazim diajar ialah tolong-menolong, perkongsian dan bekerjasama. Melalui kaedah ini, kanak-kanak diajar cara bagaimana memasuki sesuatu kumpulan, bagaimana menjadi peserta yang berkesan dalam kumpulan, pentingnya menunggu giliran dan mematuhi peraturan dan bagaimana berbual dengan dengan rakan sebaya.
Kemahiran-kemahiran lain boleh diajar ialah seperti pengurusan kemarahan,resolusi konflik dan penyelesaian masalah (mengenal pasti masalah, mewujudkan alternatif,pemilihan penyelesian). Sesuatu kemahiran sosial boleh diajar secara individu atau secara kumpulan kecil. Sesuatu kemahiran itu diperkenalkan dan kanak-kanak diberi peluang membincang tentang kemahiran berkenaan. Kemudian, kanak-kanak menonton sesuatu filem pendek atau mendengar cerita yang mengilustrasi penggunaan kemahiran berkenaan.
Seterusnya, kanak-kanak diberi peluang untuk mempraktik kemahiran yang diajar melalui drama atau main peranan bersama dengan kanak-kanak lain dalam kumpulan. Guru memandu penggunaan kemahiran tersebut sambil pengukuhan dan maklum balas positif supaya kemahiran itu dipamerkan secara spontan.


7.0       Perbincangan
Melalui dapatan kajian yang didapati, pengurusan murid dalam Malaysia disokong oleh struktur  pentadbiran yang lengkap dan mempunyai fungsi-fungsi yang tertentu di mana setiap fungsi itu saling melengkapi kepada fungsi yang lain. Setiap sekolah mempunyai matlamat dan objektif yang telah ditetapkan dari segi pencapaian akademik dan non-akademik. Pelajar-pelajar dalam konteks ini dikehendaki berusaha bagi mencapai matlamat dan objektif yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Melalui fungsi organisasi yang telah diwujudkan setiap perancangan untuk murid dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.
Selain itu, berdasarkan dapatan kajian melalui sumber artikel dan jurnal atas talian, kita dapat lihat bahawa sistem pengurusan murid di luar negara bukan sahaja tertumpu kepada murid, malah ia juga tertumpu kepada pendidik (guru) yang mengajar mereka. Kerana mereka percaya bahawa pendidik yang “all-rounder” dapat membantu menghasilkan pelajar yang pandai dan hebat. Selain itu, pendidikan mereka juga memberi penekanan kepada peralatan dan kemudahan yang disediakan untuk para murid dalam usaha pengurusan murid yang efisien. Mereka mempunyai rekod untuk setiap pergerakan murid, guru dan senarai peralatan yang disediakan untuk pelajar agar dapat memastikan pelajar menerima hak mereka secara sepenuhnya. Tiada pelajar yang di tinggalkan dan ditindas sama sekali. 
Sistem pengurusan murid di negara luar merujuk kepada carta ini untuk menghasilkan pengurusan yang berkesan.
                

Pendidikan khas adalah satu cabang perkhidmatan pendidikan yang disediakan untuk murid berkeperluan khas. Bidang ini sedang berkembang pesat seiring dengan perkembangan sistem pendidikan negara. Selain perkhidmatan di Sekolah Pendidikan Khas dan Program Pendidikan Khas Integrasi, PendekatanPendidikan Inklusif juga dilaksanakan di sekolah tertentu di seluruh negara bagi memenuhi keperluan murid dan juga permintaan ibu bapa. Dasar sedia ada yang diterima pakai sekian lama memperuntukkan hak mendapat pendidikan formal bagi kanak-kanak berkeperluan khas, dan dasar tersebut diperkukuh oleh dasar ‘Pendidikan Wajib’ dan ‘Pendidikan untuk Semua’ yang kini menjadi asas perkiraan dalam perancangan pelaksanaan pendidikan khas di Malaysia. Dengan termaterai dua dasar tersebut, pendekatan pendidikan inklusif menjadi perkara penting dalam menghadapi cabaran dan isu-isu semasa pendidikan khas.
Intervensi awal (early intervention) diaturkan untuk kanak-kanak berkeperluan khas sejak dilahir hingga 6 tahun kerana sangat penting. Kajian-kajian menunjukkan iaitu intervensi awal membawa kesan positif kepada kanak-kanak kurang upaya dan berisiko tinggi dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Sama ada memilih intervensi awal secara individu, secara kumpulan kecil atau seluruh kelas bergantung kepada tahap keterukan sesuatu ketidakupayaan. Sebelum program intervensi hendak dilaksanakan, penaksiran, sama ada secaraformal atau tidak formal perlu dilakukan. Kompetensi sosial ditakrifkan sebagai kebolehan dan kemampuan seseorangberinteraksi dengan orang lain seperti rakan sebaya, adik-beradik, guru dan individu lain. Pendidikan inklusif (inclusive education) ialah amalan mengintegrasi pelajar berkeperluan khas dalam kelas yang sama dengan pelajar biasa atau norma.
8.0       Kesimpulan
Dengan adanya sistem pengurusan murid di Malaysia ini, akan memberi faedah untuk mengurus data dan maklumat kepada sekolah. Data dan maklumat dapat disimpan dengan lebih baik dan tersusun. Malah, maklumat mudah dicapai dan digunakan dengan menggunakan sistem pengurusan data. Selain itu, semua pentadbir, kakitangan akademik dan bukan akademik mudah mendapatkan data dan membuat analisa. Selain itu, akan memudahkan urusan untuk membuat keputusan berkaitan dengan gaji, prestasi akademik dan bukan akademik. Pentadbiran khususnya kerani dan kerani kewangan dapat menggunakan teknologi IT dengan sepenuhnya.
Di samping itu, melalui pengurusan yang efektif juga dapat memberi faedah dan kebaikan maklumat kepada masyarakat di mana maklumat mudah dicapai melalui Internet. Ibu bapa, pelajar dan warga seluruh dunia dapat membaca maklumat tentang sekolah dari “homepage” sekolah. Pengurusan murid juga memberi faedah maklumat kepada jabatan dan kementerian. Malahan, pihak pejabat pendidikan daerah, jabatan pendidikan dan kementerian pendidikan akan mudah untuk mendapatkan data dan maklumat daripada sekolah. Sistem perisian yang seragam di peringkat daerah , negeri dan negara memudahkan data itu diurus dan digabungkan. Dengan ini, prestasi pendidikan negara dapat dianalisis dengan cepat. Tindakan serta merta dan rancangan jangka panjang dapat dilaksanakan berdasarkan maklumat tepat yang diberikan oleh setiap sekolah.
Pengurusan di luar negara juga telah menggunakan sistem SRMS di mana mempunyai fungsi untuk menguruskan maklumat setiap murid dan juga sekolah melalui sistem-sistem yang lebih efisien telah ditetapkan. Negara kita boleh menjadikan pengurusan murid di negara-negara luar sebagai contoh untuk menjadikan sistem pengurusan murid dan sekolah di negara kita lebih maju dan setaraf negara luar.

9.0 Rujukan


Kementerian Pendidikan Malaysia, https://www.moe.gov.my/index.php/my/

Nurul Huda Abd Halim, (2009 Februari 14):Sejarah Perkembangan Pendidikan Khas


PENDIDIKAN KHAS PRASEKOLAH 1. (n.d.). Retrieved October 20, 2018, from


https://www.scribd.com/doc/15046656/PENDIDIKAN-KHAS-PRASEKOLAH-1


UNESCO (2018), http://www5.unescobkk.org/education/efatraining/module-a1/

PENGURUSAN PENDIDIKAN KHAS DI MALAYSIA & DI LUAR NEGARA. (n.d.). Retrieved October 20, 2018, from https://www.scribd.com/doc/22848672/PENGURUSAN-PENDIDIKAN-KHAS-DI-MALAYSIA-DI-LUAR-NEGARA

No comments:

Post a Comment